Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.
Selamat datang Portal Rasmi ADTEC JTM - Kampus Kuantan. Institut ini dahulunya dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Kuantan telah ditubuhkan pada tahun 1988 dan dirasmikan oleh kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah pada 30 Oktober 1989 bersamaan 30 Rabiulawal 1410H.
Portal ini dibangunkan bertujuan untuk memperkenalkan ADTEC JTM - Kampus Kuantan kepada masyarakat awam serta menyampaikan maklumat mengenai peluang latihan kemahiran yang ditawarkan di ADTEC JTM - Kampus Kuantan. Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kaedah penyampaian dan penyaluran maklumat sentiasa dipelbagaikan agar maklumat dapat disampaikan dengan pantas. Laman web ini merupakan salah sebuah medium yang digunakan agar masyarakat mendapat maklumat yang jelas berkenaan fungsi jabatan dan peluang latihan kemahiran yang ditawarkan.
Ketika ini, kita berada di era teknologi Revolusi Industri 4.0 (I.R 4.0), di mana semua sektor di negara ini memerlukan perubahan seiring dengan transformasi digital agar kekal berdaya saing. Sehubungan itu, institusi pendidikan kemahiran juga sedang berkembang dengan pesat bagi menyahut cabaran teknologi baharu seiring perkembangan era globalisasi dan digital. Sebagai salah sebuah institusi TVET (Technical & Vocational Education Training) di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), ADTEC JTM - Kampus Kuantan sentiasa bersedia untuk memberikan latihan kemahiran kepada belia lepasan SPM, orang perseorangan mahupun pihak industri yang berminat untuk menjalani ‘re-skilling, up-skilling atau cross-skilling’. Peluang ini adalah bagi memastikan negara dapat menyediakan tenaga mahir yang berdaya saing dalam pembangunan ke arah negara maju.
Harapan saya agar portal ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak dalam menyampaikan informasi terkini berhubung fungsi utama jabatan sebagai salah sebuah institusi latihan kemahiran awam. Anda semua boleh terus menghubungi pihak ADTEC JTM - Kampus Kuantan sekiranya memerlukan maklumat lanjut.
Akhir kata, selamat melayari Portal Rasmi ADTEC JTM - Kampus Kuantan.
“Build Your Skills Here”
