Kenali Dunia Kemahiran Teknikal- SMK Seri Mahkota Singgah ILP Kuantan

08 Januari 2025- Seramai 40 pelajar dan 4 guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota hari ini menyertai lawatan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan untuk mengenali lebih dekat peluang dalam bidang kemahiran teknikal.
 
Lawatan ini dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ts Edy Syahrul Bin Omar, Ketua Jabatan Rekabentuk dan Pembuatan, di Dewan Kuliah Utama (DKU). Pelajar kemudian dibawa melawat bengkel-bengkel di ILP, di mana mereka berpeluang melihat suasana latihan dan peralatan yang digunakan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menurut salah seorang guru pengiring, lawatan ini sangat membantu pelajar untuk memahami bidang teknikal dengan lebih jelas dan memberi mereka gambaran tentang kerjaya yang boleh diceburi selepas tamat persekolahan.
 
Program ini berakhir pada jam 12.30 tengahari dengan pelajar membawa pulang pengalaman baru yang membuka mata tentang kepentingan bidang kemahiran dalam pembangunan negara. ILP Kuantan berharap lawatan sebegini dapat terus memberi inspirasi kepada generasi muda.