Syabas dan tahniah! ADTEC Kuantan terus melakar sejarah dalam ekosistem TVET negara apabila diiktiraf sebagai penerima Anugerah Institusi TVET 5 Bintang dalam majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Pengiktirafan tertinggi ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia. Anugerah ini merupakan inisiatif Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkukuh standard, kualiti, dan daya saing institusi TVET di peringkat nasional.
Kejayaan ini telah diterima oleh Tuan Haji Mohd Sukri bin Musa, Pengarah ADTEC Kuantan, yang hadir mewakili seluruh warga kerja institusi. Pencapaian 5 Bintang ini adalah manifestasi komitmen jitu warga ADTEC Kuantan dalam melahirkan bakat mahir yang kompeten, dinamik, dan relevan dengan keperluan industri masa kini.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Kementerian Sumber Manusia atas kepercayaan ini. Sesungguhnya, pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk ADTEC Kuantan terus memperkasa agenda TVET Malaysia demi masa depan negara.