25 Jun 2025
Majlis Apresiasi ADTEC JTM Kampus Kuantan bagi sesi 1/2025 telah diadakan dengan penuh gilang-gemilang bertempat di Cendana Ballroom, Sri Manja Boutique Hotel, Kuantan. Majlis yang bertemakan ‘Red Carpet Night’ ini dianjurkan bagi menghargai komitmen, pencapaian serta sumbangan para pelajar dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sepanjang sesi ini.
Majlis bermula sekitar jam 8.00 malam dengan kehadiran pelajar dan tetamu jemputan. Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti oleh ucapan alu-aluan wakil Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Pelajar (BPPL), serta ucapan perasmian oleh Pengarah ILP Kuantan.
Acara diteruskan dengan tayangan montaj khas yang merakamkan detik-detik sepanjang sesi, disusuli penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik, Sijil Penghargaan MPP 1/2025 dan Anugerah Khas Pelajar. Majlis turut diserikan dengan persembahan pelajar, sesi cabutan bertuah dan sesi fotografi kenangan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja BPPL atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan majlis ini. Turut dihargai ialah MPP 1/2025 atas segala sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan yang telah mencorakkan kepimpinan pelajar dengan penuh dedikasi.
Majlis berakhir sekitar jam 11.00 malam dengan penuh kemeriahan dan kenangan manis buat semua yang hadir.