Farm Fresh, Muadzam Shah - Lawatan Industri Pelajar Tek. Penyelenggaraan Mekanikal

14 Mei 2025 - Seramai 25 orang pelajar semester 4 dari Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal, ADTEC JTM Kampus Kuantan telah mengadakan lawatan industri ke Kilang Farm Fresh di Muadzam Shah, Pahang. Lawatan ini turut diiringi Ketua Bahagian Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal, Ts. Mohd Rauf Bin Ali Khan dan tenaga pengajar En Syamsurizal Bin Desa.
 
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai operasi sebenar industri pemprosesan makanan dan minuman, khususnya dalam bidang penyelenggaraan peralatan dan sistem mekanikal yang digunakan dalam kilang. Selain itu, pelajar juga dapat memahami aplikasi teknologi terkini yang digunakan dalam industri tenusu tempatan, serta menilai kepentingan aspek kawalan kualiti dan penyelenggaraan dalam menjamin kelestarian operasi kilang.
 
Pihak ADTEC JTM Kampus Kuantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Farm Fresh Muadzam Shah yang diwakili Mr. David dan Puan Fatiha atas sambutan mesra dan perkongsian ilmu yang amat bermanfaat sepanjang lawatan berlangsung.
 
Lawatan seperti ini diharapkan dapat meningkatkan motivasi dan kefahaman pelajar terhadap keperluan industri serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi alam pekerjaan kelak.